Memahami, mendekati Al-Quran melalui ‘tadabbur’



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hasif Matzin





BERAKAS, Jumaat, 6 Mac. - Bagi memastikan 'manual kehidupan' ini benar-benar dihayati, kerajaan sentiasa memperkasa inisiatif melalui pelbagai peringkat pendidikan agama kebangsaan termasuk pencapaian serantau khususnya dalam menerbitkan Tafsir 'Ilmi Ayat-ayat Kauniyyat menerusi kerjasama MABIMS.


Usaha seumpamanya adalah bertujuan melahirkan generasi penerus yang mahir membaca dan membesar dalam lingkungan adab serta kecintaan kepada kalamullah. Oleh itu, sebagai usaha bersinambung memahami isi kandungan Al-Quran, kita dituntut untuk mendekatinya melalui 'tadabbur'.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam tadi.


Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersabda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapatlah kita berkumpul memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran pada malam 17 Ramadan yang penuh berkat ini.


Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, tema sambutan pada tahun ini, 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya', bertepatan dengan hasrat negara untuk terus memperkasa jati diri umat Islam melalui kitab suci Al-Quran.


Tema ini, sabda Duli Yang Teramat Mulia, merupakan kesinambungan daripada hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan Al-Quran sebagai teras kehidupan.


Sabda DYTM lagi, sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan lepas : “Al-Quran bukan sekadar bacaan tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran".


Seterusnya dalam sabda, DYTM menjelaskan bahawa pendekatan ini selaras dengan tujuan penurunan Al-Quran, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Shad, ayat 29 yang bermaksud : “(Al-Quran ini ialah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengambil pengajaran".  


DYTM seterusnya bersabda, amalan 'tadabbur' Al-Quran membawa kepada penghayatan tiga konsep utama iaitu Tilawah : pembacaan yang betul dan bertajwid, Ta'lim iaitu mempelajari dan memahami isi kandungannya dan Tazkiyah iaitu pengamalan ajaran Al-Quran bagi membentuk akhlak mulia serta adab dalam hubungan sesama insan.


Namun, sabda DYTM lagi, dalam meniti arus kemodenan termasuk kemajuan teknologi digital dan pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) kini merupakan suatu kenyataan merentasi kehidupan seharian.


“Dalam hal ini, kita menjunjung tinggi titah peringatan paduka ayahanda mengenainya pada Sambutan Ilal Hijrah baru-baru ini, khususnya cabaran teknologi AI yang semakin canggih sehingga boleh menyebabkan : “kesukaran kita untuk menilai dan membezakan yang mana realiti atau yang diada-adakan".


“Pada hemat saya, cabaran kepantasan maklumat dan pertembungannya menuntut kita untuk memiliki sikap yang lebih bijaksana dalam berusaha merungkai berbagai khazanah ilmu yang tersirat. Hal ini selaras dengan sabda peringatan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, mafhumnya : “Sesiapa yang berkata tentang Al-Quran tanpa ilmu, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam api neraka"," sabda DYTM.


Sehubungan dengannya, sabda DYTM, perlu diingat bahawa peranan 'mufassir' atau pentafsir Al-Quran merupakan satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Ia menuntut penguasaan ilmu dan pematuhan kepada disiplin ilmu yang ketat sebagaimana digariskan dalam kitab-kitab 'Ulum Al-Quran.


Dengan demikian, sabda DYTM, kita perlu menyedari bahawa teknologi AI atau Artificial Intelligence hanyalah sebuah wasilah atau perantara dalam mana ia tidak memiliki 'Basirah' atau 'mata hati' di samping tidak berpaksikan kepada disiplin ilmu yang bersanad.


Sabda DYTM lagi, kemajuan teknologi ini bagaimanapun harus dimanfaatkan dengan aplikasinya berpandukan kepada pegangan Ahli Sunnah Waljamaah demi memelihara keselamatan akidah serta kesejahteraan ummah dan negara.


Justeru, sabda DYTM, kebijaksanaan kita menggunakan teknologi mestilah sentiasa diimbangi dengan kekuatan rohani dan integriti ilmu yang bersanad. Inilah benteng utama kita bagi melahirkan agamawan serta generasi yang bukan sahaja celik digital, malah teguh imannya dalam mendepani apa jua cabaran masa kini dan mendatang.


“Akhir kalam, adalah penting dan menjadi keutamaan bagi semua pihak untuk terus bekerjasama dalam menanai peranan masing-masing ke arah memperkukuh pengalaman pembelajaran, pengajian dan penghayatan Al-Quran melalui pendekatan 'tadabbur' yang sahih dan mudah.


“Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan taufik dan kekuatan untuk kita membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dengan istiqamah serta meraih syafaatnya dan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam rahmat serta perlindungan-Nya," sabda DYTM. 


Close